KANGAR – Dua lelaki termasuk seorang warden penjara berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dituduh mengedar heroin seberat 132 gram di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd. Hasif Abdul Rahim, 27, berkhidmat sebagai warden penjara di Tapah, Perak manakala Mohd. Farhan Abdul Aziz, 37, pula merupakan seorang penganggur.
Mereka masing-masing dituduh dengan tiga pertuduhan memiliki dan mengedar dadah.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki ganja seberat 85.9 gram di sebuah rumah di Taman Melati, Beseri, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 1.45 petang, 4 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun sehingga seumur hidup dan 10 kali sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama mengedar heroin seberat 132 gram pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati. – KOSMO! ONLINE