SEBERANG PERAI – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kini masih menunggu keputusan permohonan mereka untuk membuat semakan tarif air domestik yang baharu bagi negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, permohonan untuk semakan itu telah dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) penghujung Mac lalu sebelum diserahkan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk tindakan susulan.
“Tarif baharu yang kita cadang itu buat masa ini kita tak boleh maklum tapi tarif air sekarang (di Pulau Pinang) secara puratanya ialah RM0.32 bagi setiap 1,000 liter berbanding purata di peringkat nasional iaitu RM0.71 (untuk kapasiti yang sama).
“Semua negeri pun dah hantar dan menunggu (permohonan semakan tarif air baharu). Semua operator air juga menunggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jaseni berkata, permohonan semakan tarif air baharu itu merupakan salah satu daripada usaha PBAPP untuk menguruskan permintaan air di negeri ini.
“Disebabkan tarif air di Pulau Pinang adalah yang terendah di negara ini, maka, penggunaannya juga adalah paling tinggi iaitu 308 liter perkapita sehari, kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada penggunaan air di Singapura ketika ini,” jelasnya. KOSMO! ONLINE