GEORGE TOWN – Pimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) Pulau Pinang menyambut baik dan menyifatkan penyertaan Datuk Zuraida Kamarudin ke dalam parti itu adalah saat yang dinantikan ahli-ahlinya.
Pengerusi PBM, Alan Oh berkata, Zuraida juga telah dilantik sebagai Presiden Pengganti bagi mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain dalam perbincangan membentuk kerjasama politik.
”Kami percaya Zuraida atau lebih mesra dengan gelaran Ibu Bangsa Malaysia (IBM) ialah pemimpin yang ideal bagi membawa parti ini ke landasan yang lebih kukuh dan baik.
“Ini berteraskan prinsip parti iaitu kepelbagaian kaum, menaikkan martabat wanita, menampilkan golongan pemuda yang lebih mantap dalam meresetkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Alan, Zuraida adalah seorang pemimpin dan menteri yang sangat berjaya dan terkenal dengan gaya pimpinan ’walk the talk’ dalam menerajui kementeriannya bermula sebagai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kini di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).
”Terkini dapat dibuktikan melalui kenaikan harga minyak kelapa sawit ke tahap yang sangat baik. Beliau juga menjadi ikon wanita bukan sahaja di Malaysia malah di mata dunia,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, PBM Pulau Pinang menyokong penuh keputusan ahli Majlis Tertinggi dan Keputusan Biro Politik yang menerima saranan akar umbi untuk bersama gabungan yang lebih baik dan yang lebih kukuh iaitu Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pengalaman mentadbir negara lebih dari 60 tahun.
”Perkara ini dapat dijelaskan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini di mana kita dapat melihat ekonomi yang lebih kukuh.
”Ini membuktikan rancangan Keluarga Malaysia adalah pada landasan yang betul,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE