PETALING JAYA – Harta sepencarian adalah satu jenis tuntutan yang boleh dituntut oleh seorang bekas isteri yang telah diceraikan.
Menurut Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli, tuntutan itu tidak kisah sama ada ketika berkahwin dahulu isteri bekerja ataupun tidak.
“Tak kisah bagaimana cara wanita itu bercerai dengan suaminya dahulu. Yang pasti, ada dua perkara yang penting mahkamah nak tahu.
“Yang pertama adalah sumbangan langsung wanita itu dan yang kedua adalah sumbangan tidak langsung bekas isteri itu semasa tempoh perkahwinan mereka,”katanya di laman Facebook.
Menjelaskan lagi perkara itu, Fahmi berkata sumbangan langsung adalah sumbangan wang ringgit yang dikeluarkan oleh wanita tersebut.
Sebagai contoh katanya, wanita tersebut ada membeli atau membayar sebahagian harta yang dibeli dalam tempoh perkahwinan.
“Manakala, sumbangan tidak langsung pula merangkumi perkara atau pengorbanan yang diberikan oleh wanita itu semasa bergelar isteri.
“Seperti contohnya wanita itu membantu sehingga membolehkan bekas suami itu dapat kerja dengan baik dan membeli harta tersebut.-KOSMO! ONLINE