fbpx

Faisal Halim gembira ledak gol pertama antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL (depan) meraikan jaringan bersama Safawi ketika membantu skuad Harimau Malaya membenam Turkmenistan 3-1 pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

PEMAIN sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim me­ngakui bagaikan tidak percaya dapat menjaringkan gol pertama di pentas antarabangsa selepas membantu pasukan menewaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Bintang kelab Terengganu FC (TFC) itu menjadi salah seorang daripada tiga pemain negara yang menjaringkan gol selain Safawi Rasid dan La’Vere Corbin-ong untuk menghadiah­kan tiga mata berharga pada kempen Kumpulan E.

Faisal yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkata, rakan-rakan sepasukan telah mendengar arahan taktikal yang ditetapkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan berjaya membuktikan keupayaan sebenar di atas padang.

“Saya akui sangat gembira apabila dapat menjaringkan gol pertama dalam karier di pentas antarabangsa yang sememang­nya diimpikan oleh semua orang.

Namun, saya tidak boleh mendabik dada kerana pujian wajar diberikan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Saya lihat apa yang kita tampilkan kali ini serba menjadi dan saya memang tak sangka rakan sepasukan dapat mereali­sasikan perancangan jurulatih dengan baik malam ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Faisal turut menyeru agar semua pemain kekal fokus di atas padang meskipun ada ketika keputusan pengadil perlawanan tidak memihak kepada pasukan.

“Kami sedia maklum bahawa­ pengadil di pentas antara­bangsa sedikit tegas dan tidak se­perti yang kami haru­ngi dalam kancah Liga Malaysia. Selagi tiada wisel ditiupkan oleh pe­ngadil, pasukan perlu teruskan permainan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Malaysia akan meneruskan saingan bertemu gergasi Asia Barat, Bahrain pada aksi ke­dua Kumpulan E malam esok. Hanya­ juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan Malaysia kali terakhir beraksi di kejohanan berprestij itu pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI