TEHERAN – Dua pekerja binaan di Urmia, wilayah Azerbaijan Barat di Iran maut selepas terjatuh dari sebuah platform bangunan tinggi yang bergoyang akibat ribut pasir, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Mereka dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pembinaan dari platform yang tergantung pada ketinggian kira-kira 30 meter di sisi bangunan itu.
Rakaman video oleh saksi kejadian memaparkan detik ngeri mangsa terjatuh ke bawah selepas tergelincir disebabkan platform bergoyang dan tidak stabil semasa ribut melanda.
Ketika kedua-dua lelaki itu berpaut pada struktur rapuh itu, tali pemegang platform menjadi tidak stabil, menyebabkan platform itu berulang kali melanggar dinding bangunan.
Akhirnya, mangsa pertama tergelincir dan terjatuh dari platform tersebut, diikuti pekerja kedua beberapa saat kemudian.
Pegawai tempatan berkata, seorang pekerja sudah mati ketika ditemui di atas tanah.
Mereka membawa mangsa kedua ke hospital tetapi dia disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Jurucakap Pusat Pengurusan Perubatan Kecemasan Azerbaijan Barat, Baqer Bahrami mengesahkan kemalangan tersebut.
“Dua pekerja binaan yang bekerja di sebuah bangunan tinggi hilang nyawa selepas terjatuh ketika ribut pasir melanda.
“Kedua-dua mereka meninggal dunia dengan seorang di tempat kejadian, manakala mangsa kedua di hospital,” kata Baqer. – Agensi