JITRA – Selepas tiga bulan menanti, kepala paip yang selama ini sekadar menjadi perhiasan di rumah penduduk Kampung Wang Perah di sini akhirnya kembali mengeluarkan air bagi kegunaan penduduk.
Kalangan penduduk di situ ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali menikmati bekalan air bersih yang terus disalurkan ke rumah masing-masing.
Sebelum ini, penduduk terpaksa bergantung kepada air bukit dan sungai yang tidak terjamin kebersihannya berikutan gangguan bekalan air bersih daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd.
Penduduk, Siti Noor Hidayu Dzohiralauddin, 31, berkata, dia tidak perlu lagi membasuh baju serta menyiang ikan di sungai.
Katanya, suami, Mohd. Ridzuan Mohd. Noor, 34, juga tidak perlu mengangkut air dari sungai untuk disimpan bagi membolehkan anak mandi sebelum ke sekolah keesokan paginya.
“Memang rasa lega sangat masalah ini dapat diselesaikan. Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama media yang membantu mengetengahkan isu ini,” katanya di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan mengenai kesengsaraan yang dihadapi penduduk di kampung tersebut yang mengalami masalah gangguan bekalan air bersih sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Keadaan itu menyebabkan penduduk berdepan kesukaran menyempurnakan urusan harian memandangkan bekalan air bukit juga sering terputus terutama ketika hujan lebat serta kemarau.
Berita berkaitan: Cuci baju, barang dapur di sungai
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohamad Zaidi Kasa, 58, turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di situ.
Begitupun katanya, kalangan penduduk kampung amat berharap supaya bekalan air bersih tersebut tidak lagi terputus termasuk pada sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Kami dah lama susah akibat ketiadaan air di sini. Selama ini pun apabila kami menghubungi pihak berwajib, masalah masih berlaku.
“Saya harap bekalan air sempurna seperti ini dapat berterusan. Kalau ada aduan lagi selepas ini, tolong ambil serius dan janganlah buat tidak tahu saja,” ujarnya.