PARIS – Disneyland Paris mengeluarkan permohonan maaf susulan insiden seorang kakitangannya yang mengganggu proses lamaran sepasang kekasih di taman hiburan itu dengan cara merampas kotak cincin, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Berdasarkan sebuah klip video yang tular, sepasang kekasih berdiri di hadapan Istana Puteri Beradu di taman hiburan tersebut. Lelaki dikenali sebagai Ante itu kemudian melutut di hadapan kekasihnya dan melamar wanita berkenaan.
Seorang petugas Disneyland secara tiba-tiba meluru ke arah mereka dan merampas kotak cincin tersebut serta mengarahkan kedua-duanya untuk turun dari pentas itu.
“Ia memang hebat namun mungkin anda berdua boleh melakukannya (lamaran) di sini,” kata kakitangan tersebut sambil menunjuk pada lokasi lain.
Video itu menjadi tular dan dikecam orang ramai yang menganggap kakitangan tersebut biadab dan tidak berperikemanusiaan kerana memusnahkan momen indah lamaran ‘cinta cerita dongeng’.
“Kami menyesali apa yang telah berlaku. Kami juga telah meminta maaf kepada pasangan tersebut dan menawarkan mereka untuk memperbetulkan keadaan,” demikian menurut permohonan maaf Disneyland Paris.
Sementara itu, Ante berkata, dia sebelum itu telah meminta kebenaran seorang kakitangan lain untuk naik ke atas pentas bagi melamar kekasihnya.
Mereka bagaimanapun dihalang seorang lagi petugas sebelum diarah turun dari pentas dan menyebabkan dia keliru sama ada teman wanitanya telah menjawab ‘ya’ bagi lamaran tersebut.
Mereka kemudiannya pergi ke sebuah pantai berhampiran di mana Ante sekali lagi melamar teman wanitanya sebelum gadis itu menyatakan persetujuannya. – Agensi