fbpx

Telur ayam kurang, harga melambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelanggan memilih telur ayam kampung yang dijual di Pasar Pagi Taman Ria Jaya, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Masalah kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini menyebabkan berlaku kenaikan harga di pasaran sejak seminggu lalu.

Pihak pemborong dan peruncit pula didakwa tertekan apabila menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan telur untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, harga runcit telur ayam Gred C sebelum ini RM9.70 (sekarang RM11.70); Gred B sebelum RM11 (sekarang RM13), manakala Gred A sebelum RM13 (sekarang RM15-RM16) dijual di pasaran.

Seorang pemborong, Ah Swee Kee, 50, dari Kuala Ketil berkata, kekurangan bekalan di pasaran bermula seminggu lalu sehingga harganya turut melonjak tinggi.

“Akibat bekalan telur ayam di pasaran berkurang, harganya naik antara 10 hingga 20 peratus.

“Jadi saya terpaksa mengehadkan tempahan peruncit atau mengu­rangkan kuantiti tempahan sehingga turut menjejaskan perniagaan yang diusahakan le­bih 20 tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pihak peniaga juga tidak menolak kemungkinan harga telur mengalami kenaikan menjelang Aidiladha depan ke­rana permintaannya meningkat.

Peruncit, Shuib Nayan, 60, yang menjual telur di Pasar Pagi Taman Ria, di sini berkata, dia difahamkan bekalan dari ladang berkurang sehingga peniaga terpaksa membeli telur ayam kampung untuk memenuhi permintaan pengguna.

“Telur ayam kampung gred AA dijual dengan harga RM16 sepapan (30 biji), gred A (RM15), gred B (RM12) dan gred C (RM11).

“Harga telur ayam didapati meningkat lebih tinggi berban­ding minggu lalu kerana kekura­ngan bekalan di pihak pemborong dan kedai runcit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI