fbpx

Tukang gunting rambut dipukul anak pelanggan akibat salah faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Akibat salah faham, seorang tukang gunting rambut cedera di kepala selepas dipukul menggunakan sebatang besi oleh anak kepada pelanggannya dalam kejadian di Felda Trolak Selatan, Sungkai, Isnin lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai menyerang mangsa dari arah belakang selepas melihat wanita terbabit ‘memarahi’ ibunya yang sedang digunting rambut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan wanita berusia 62 tahun itu menerima lima jahitan di kepala.

Katanya, kejadian berlaku ekoran salah faham kerana mangsa yang mengambil upah menggunting rambut dari rumah ke rumah itu mempunyai masalah pendengaran.

“Ketika bercakap dengan pelanggan, mangsa yang pekak telah bercakap dengan nada yang tinggi dan ini menyebabkan suspek menyangka mangsa sedang memarahi ibunya.

“Marah dengan keadaan itu, suspek telah menyerang mangsa dari arah belakang dan mengetuk kepalanya dengan sebatang besi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah telah berlari ke arah rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum dibawa ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, pihak polis yang dimaklumkan kejadian itu telah ke lokasi dan menahan suspek serta merampas sebatang besi yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai 18 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Ujian awal saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI