ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki kepada Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail di Stadium Suka Menanti di sini hari ini.
Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam pada majlis itu untuk beramah mesra dengan pasangan pengantin, Ahmad Ikhram Mohd. Yusof dan Aida Fatini Azhar serta keluarga dan tetamu.
Turut hadir memenuhi undangan itu ialah beberapa anggota Kabinet antaranya Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Majlis resepsi pasangan pengantin itu berlangsung meriah dengan kalangan tetamu turut mengambil peluang bergambar bersama Perdana Menteri serta anggota Kabinet yang hadir. – KOSMO! ONLINE