RANTAU PANJANG – Sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Kedap di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, Norlida Mohamad, 52, tidak sempat menyelamatkan semua kelengkapan di dalam rumahnya apabila api marak dengan cepat.
Menurut Norlida, kejadian disedari oleh salah seorang anaknya, Mohamad Izuddin Mohamad Zaki, 25, semasa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli burger di sebuah gerai.
Katanya, Mohamad Izuddin terus berlari dan memaklumkan kejadian tersebut kepadanya yang ketika itu berada di dalam rumah.
“Sebaik sahaja keluar dari rumah, kami lihat api sudah marak. Saya hanya mampu lihat rumah terbakar dari jauh kerana api marak dengan terlalu cepat.
“Buat masa ini, saya dan keluarga menumpang di rumah adik yang terletak tidak jauh dari lokasi kebakaran,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Norlida memberitahu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah kosong berhampiran sebelum merebak ke kediamannya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.03 malam dan seramai 15 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pasir Mas bergegas ke lokasi kejadian.
“Semasa tiba di lokasi kebakaran, dua buah rumah didapati terbakar. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE