SEBERANG PERAI – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya merampas 40 set bubu naga di kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat dari perairan Pulau Burung di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan sempena Op Pertiwi/Benteng itu dilakukan semasa pasukan bot ronda, KILAT 26 sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan antara pukul 2.40 hingga 3 petang.
Menurutnya, ketika rondaan, anggota penguat kuasa telah menjumpai beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza sebelum menemui 40 set bubu naga yang dipercayai telah dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai RM4,800 itu kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abd. Razak memberitahu, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.
Jelasnya lagi, para nelayan diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan. – KOSMO! ONLINE