LOS ANGELES, CALIFORNIA – Sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) bersama lima anggota Marin terhempas di selatan California semalam (hari ini waktu Malaysia), kata seorang jurucakap.
Belum ada berita tentang nasib mereka tetapi tentera AS menafikan pesawat berkenaan membawa bahan radioaktif apabila terhempas dekat Glamis, sekitar 35 kilometer dari sempadan Mexico.
“Kami boleh mengesahkan bahawa sebuah pesawat milik Skuadron Pesawat Marin Ke-3 terhempas dekat Glamis.
“Lima anggota Marin berada di dalam pesawat dan kami masih menunggu pengesahan tentang nasib mereka.
“Anggota pasukan kecemasan awam dan tentera berada di lokasi kejadian. Pesawat itu tidak membawa bahan nuklear seperti desas-desus yang tersebar di media sosial,” kata seorang jurucakap kepada agensi berita AFP
Pesawat terhempas itu dikenal pasti sebagai MV-22B Osprey yang berpangkalan di Kem Stesen Udara Kor Marin Pendleton.
Osprey merupakan pesawat yang boleh berlepas dan mendarat secara vertikal (menegak).Ia berupaya terbang seperti helikopter tetapi memiliki jarak penerbangan dan kelajuan sebuah pesawat.
Tentera AS merekodkan sebilangan nahas udara melibatkan Osprey termasuk satu kemalangan di Norway yang mengorbankan empat anggota Marin. – AFP