TELUK INTAN – Tindakan seorang lelaki menghisap dadah menerusi satu rakaman video yang tular di Facebook mengundang padah apabila dia diberkas polis semalam.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sebuah rumah di Chenderong Balai di sini pada pukul 5 petang bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam tangkapan tersebut, pihaknya turut merampas empat plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 27.75 gram bernilai RM832.50.
Katanya, berdasarkan semakan, suspek yang juga positif dadah jenis morpin itu mempunyai 16 rekod jenayah bersabit kes dadah.
“Tangkapan dilakukan ekoran video pendek memaparkan aksinya menghisap dadah tular di laman Facebook.
“Suspek mengaku bahawa individu dalam video itu adalah dia dan mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Apoi’ di kawasan Pekan Langkap.
“Usaha mengesan pengedar berkenaan sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook memaparkan sorang lelaki dipercayai sedang menghisap dadah yang dirakam seorang individu. -KOSMO! ONLINE