KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2023 dengan bergaya selepas mengejutkan pasukan Asia Barat, Turkmenistan dengan kemenangan 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad negara kendalian Kim Pan-gon membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dibarisi oleh Safawi Rasid, Darren Lok, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.
Selepas melakukan beberapa percubaan awal, pasukan negara tidak menunggu lama untuk meraih gol pembukaan hasil jaringan Safawi pada minit ke-11 selepas penjaga gol lawan gagal menangkap kemas hantaran Arif Aiman.
Jaringan tersebut ternyata membakar semangat pasukan negara dan gol kedua berjaya dihasilkan menerusi jaringan Faisal yang memanfaatkan kesilapan pertahanan pasukan pelawat yang menduduki ranking ke-134 itu.
Namun, Turkmenistan berjaya mendapat rentak dan berjaya melakukan percubaan pertama menerusi penyerang utama, Annadurdyev Altymyrat pada minit ke-25 tetapi sedikit tersasar.
Altymyrat akhirnya menjadi duri dalam daging buat pertahanan negara apabila memanfaatkan peluang terhidang hasil kesilapan yang dilakukan oleh Shahrul Saad dan Dion Cools untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-37.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara kembali memperkemaskan jentera serangan dan kembali melebarkan kelebihan hasil serangan balas pantas yang berjaya disudahkan oleh pemain pertahanan, La’Vere Corbin-Ong pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Pan-gon dilihat merombak kesebelasan utama dengan memasukkan beberapa pemain simpanan seperti Junior Eldstal, Syafiq Ahmad, Safiq Rahim, Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula.
Bagaimanapun, Turkmenistan dilihat menguasai sebahagian besar babak kedua dan hampir meraih jaringan kedua menerusi kapten, Amanov Arslan tetapi Farizal kekal bertindak cemerlang mengawal benteng negara.
Skuad negara berusaha untuk melakukan serangan tetapi kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad Harimau Malaya mendahului carta Kumpulan E selepas Bahrain hanya meraih kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh petang tadi.
Pasukan kebangsaan dijadualkan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi kedua pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE