KLANG – Kegiatan satu sindiket penyelewengan diesel subsidi yang beroperasi sejak setahun lalu tumpas menerusi serbuan di stor penyimpanan minyak di Jalan Sekolah, Jalan Johan Setia, di sini, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 6 pagi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor turut membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 25 hingga 41 tahun.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, serbuan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu dengan premis tersebut didapati tidak mempunyai lesen sah untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi jenis minyak diesel.
“Kita merampas 77,000 liter diesel subsidi bernilai lebih RM165,000. Turut dirampas lapan unit skid tank berkapasiti 20,000 liter setiap satu, empat buah lori yang mempunyai tangki minyak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM605,000,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan hari ini.
Kata beliau, siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membeli diesel subsidi di beberapa stesen minyak di sekitar negeri ini sebelum menjual semula di pasaran gelap dengan harga yang lebih tinggi.
“Ini merupakan rampasan terbesar membabitkan penyelewangan diesel subsidi pada tahun ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE