MUNICH – Ketua jurulatih skuad England, Gareth Southgate mengakui penyerang utama, Harry Kane tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya selepas berjaya membantu pasukan The Three Lions merekodkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Jerman pada Liga Negara-Negara Eropah awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Allianz Arena itu, England bangkit daripada ketinggalan dengan Kane selaku kapten pasukan meledak gol menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan selepas Jerman terlebih dahulu mendahului menerusi gol jaringan Jonas Hoffman.
Kata Southgate, Kane yang kini meledak 50 gol di pentas antarabangsa telah meletakkan kedudukannya di tangga kedua di belakang legenda England, Wayne Rooney yang merupakan pemain serba boleh dan bukan sekadar penyerang semata-mata.
“Saya tidak terkejut apabila dia merekodkan 50 gol di pentas antarabangsa kerana apa yang lebih penting corak permainannya lebih daripada sekadar penyerang kerana dia juga membuka ruang serta mencipta peluang buat rakan-rakam sepasukan.
“Anda boleh lihat bagaimana dia dan tiga lagi pemain, Raheem Sterling, Bukayo Saka dan Mason Mount begitu kreatif selain beri kesukaran buat pasukan tuan rumah sehingga saya percaya kami sepatutnya boleh merekodkan kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Kane yang juga kapten Three Lions mengakui teruja apabila kembali menemui sentuhan jaringan di pentas antarabangsa dan berharap dapat kekalkan momentum itu bila bertemu Itali di Stadium Wembley awal pagi Ahad ini.
“Menjaringkan gol sudah menjadi sebahagian daripada diri saya dan tiada tugas yang lebih penting berbanding ketika menyarung jersi kebangsaan.
“Namun, pasukan perlu kekal bekerja keras kerana aksi antarabangsa yang diharungi ketika ini adalah persiapan sebelum ke pentas Piala Dunia nanti,” katanya. – AGENSI