LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pindaan aksi Piala FA pusingan kedua melibatkan Terengganu FC (TFC) bertemu Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Selangor FC menentang Kuala Lumpur City ke awal bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengakui pindaan jadual tersebut terpaksa dilakukan selepas penyelarasan semula jadual Liga Super bagi mengimbangi jadual Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Kata Stuart, pelepasan pemain utama TFC yang mewakili pasukan kebangsaan ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam bermula 12 Mei 2022 sehingga 23 Mei 2022 juga antara salah satu faktor berlaku pindaan tarikh perlawanan tersebut.
“Aksi Piala FA melibatkan TFC menentang KDA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang sepatutnya berlangsung pada 14 Mei lepas kini dipinda kepada 6 Julai 2022.
“Sementara itu, pindaan tarikh baharu membabitkan pasukan Selangor dan KL City pula adalah memberikan tempoh rehat yang cukup susulan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menukar tarikh perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC bulan ini.
“Sepatutnya aksi melibatkan KL City menentang Tampines Rovers pada 27 Jun tetapi bertukar kepada 30 Jun dan disebabkan itu perlawanan Piala FA bertemu Selangor yang sepatutnya berlangsung pada 2 Julai dipinda ke 8 Julai depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Stuart turut mengesahkan penyelarasan perlawanan-perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA juga telah dipinda MFL.
“Saingan suku akhir Piala FA yang dijadualkan bermain pada 7 dan 8 Julai kini dipinda 23 Julai sementara separuh akhir pula pada 6 Ogos dengan aksi final dijangka berlangsung pada 27 Ogos depan,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama penganjuran Piala FA berlangsung selepas dua tahun dibatalkan oleh MFL ekoran pandemik Covid-19.