KUALA LUMPUR – Bekas bintang Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Linda Nanuwil bersedia berdepan sebarang kecaman apabila kembali menjadi peserta program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh tidak lama lagi.
Selepas 15 tahun menghilangkan diri dalam bidang nyanyian, penyanyi yang pernah digelar pesona bintang pada awal kariernya mengakui penglibatannya sebagai salah seorang peserta GV7 adalah satu cabaran besar.
“Saya perlu kuat dari segi mental dan fizikal, lebih-lebih lagi menerima kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak.
“Zaman masuk GV7 tidak sama semasa saya menyertai AF. Zaman media sosial ini, segala-galanya lebih telus,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Linda bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali berada dalam industri hiburan.
“Saya bersyukur GV7 memberi peluang kepada saya untuk menjadi bekas peserta AF yang pertama menyertainya.
“Saya tidak meletakkan harapan besar, tetapi saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Pada masa sama, Naib Juara AF2 itu turut menafikan dirinya merajuk sehingga membawa diri pulang ke Sabah.
Katanya, dia mengambil keputusan pulang ke negeri kelahirannya selepas ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Sepanjang berada di Sabah, Linda masih menyanyi dan memenuhi jemputan untuk mengadakan persembahan.
Ditanya tentang soal status dirinya yang telah berkahwin, Linda menafikan perkara tersebut.
“Saya masih jomblo (bujang),” katanya berseloroh.
Linda bersama 13 lagi penyanyi lain akan berentap di pentas GV7 pada 11 Oktober ini di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) Ria HD (123) setiap Ahad pukul 9 malam.