PEKAN Ulu Yam, Selangor yang terletak kira-kira satu jam dari ibu kota merupakan satu lokasi menarik untuk dikunjungi orang ramai, khususnya bagi mereka yang mahu bersantai di kawasan air terjun.
Selain lokasi perkelahan popular, Ulu Yam juga menempatkan pelbagai jenis kebun termasuk kebun organik Hoho Farm yang diusahakan sebuah keluarga berketurunan Cina sejak tahun 2013.
Semasa kebun tersebut mula diusahakan, orang ramai yang datang ke Hoho Farm untuk membeli sayur-sayuran organik segar sering bertanya kalau-kalau ladang itu ada menjual minuman sejuk bagi menghilangkan dahaga.
Bertitik tolak dari itu, seorang wanita kemudian memberanikan diri untuk mewujudkan sebuah kafe kecil yang menyajikan pencuci mulut, manisan dan pelbagai jenis minuman di kebun tersebut.
Lokasi kebun yang strategik selain pengalaman luas dalam penyediaan menu pencuci mulut menarik menjadikan Chua Yi Pei, 29, mendapat idea untuk mewujudkan sebuah kafe kecil dikenali sebagai Kebun Kafe.
“Lokasi kafe ini pada asalnya adalah salah satu kawasan kebun organik milik keluarga.
“Namun, saya kemudian mengubah suainya menjadi sebuah kafe dengan bantuan bapa yang merupakan seorang kontraktor dan kakak yang merupakan seorang pereka hiasan dalaman.
“Di sini, kami menyajikan hidangan pencuci mulut seperti kek, scones dan juga biskut dengan minuman seperti kopi, matcha, coklat, soda dan jus,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Berbekalkan pengalaman sebagai seorang cef pastri selama lima tahun di sebuah kafe di Bangsar, Yi Pei kemudian menghasilkan seleksi menu enak yang boleh dinikmati pengunjung yang datang ke premisnya itu.
“Memandangkan saya pernah berkhidmat sebagai cef pastri di Kuala Lumpur, saya mahu membawa seleksi menu berkualiti tinggi seperti di ibu kota ke Ulu Yam.
“Jadi, warga tempatan yang mungkin mahukan menu pencuci mulut yang berkualiti tinggi sama seperti di Kuala Lumpur boleh mendapatkannya di sini,” ujarnya.
Tambah Yi Pei lagi, secara peribadi, resepi dan menu kegemarannya adalah strawberry shortcake yang merupakan kek vanila bersama buah-buahan strawberi segar yang dihidangkan bersama krim mascarpone.
“Kombinasi buah strawberi yang masam dan manis dengan krim mascarpone yang ringan dan gebu adalah gabungan kegemaran saya di Kafe Kebun,” ujarnya.
Selain menu tersebut, menu lain yang merupakan sajian signatur di premis tersebut adalah kek bijan hitam yang dan kek onde-onde.
Yi Pei memberitahu, dia akan menambah lebih banyak menu berkualiti tinggi di kafenya itu pada masa akan datang dan berharap agar ia menjadi lokasi tumpuan pelancong yang datang ke Ulu Yam.
Tarikan lain yang ada di kafe itu adalah hiasan dalamannya yang serba ringkas dan selesa untuk pelanggan duduk berbual sambil menghirup kopi segar.
Kafe ini bagaimanapun dibuka setiap Jumaat hingga Ahad sahaja.