KHABAR angin mengenai Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi adalah tidak benar sama sekali.
Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards berkata, langkah untuk tidak mengambil semula pemain sayap itu mengambil kira faktor usianya sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan seperti ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Saya ingin menyangkal dakwaan yang tular mengenai JDT ingin menandatangani semula Cabrera sebagai pemain naturalisasi.
“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana MFL mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Oleh itu, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, JDT mengumumkan akan menandatangani empat pemain baharu untuk menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan pertengahan musim.
Katanya, empat pemain itu melibatkan dua pemain luar negara dan dua pemain tempatan akan menyertai skuad dalam masa terdekat.
Cabrera menjaringkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan menerusi 152 penampilan sejak musim 2017.
Pemain kelahiran Argentina itu membantu pasukan muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021, manakala memenangi Piala Sumbangsih dari 2018 hingga 2021.
Pemain lincah berusia 32 tahun itu turut membantu skuad Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia 2017 dan 2019.