BANDAR RAYA NEW YORK – Sekumpulan doktor pakar onkologi berjaya menyembuhkan kanser rektum menggunakan sejenis ubat yang masih di peringkat ujian klinikal, lapor akhbar Metro UK, semalam.
Pakar dari Pusat Kanser Memorial Sloan Kettering (MSK) mendapati bahawa ujian terkini pesakit tersebut tidak menunjukkan bukti kewujudan kanser.
Rawatan itu menggunakan kaedah imunoterapi yang memanfaatkan sistem imun badan sendiri sebagai sekutu melawan kanser.
Pesakit pertama, Sascha Roth,yang menjalani rawatan melibatkan imunoterapi telah menjalani rawatan selama enam bulan.
Sel kanser rektum yang dihidapinya didapati hilang selepas imunoterapi tanpa memerlukan rawatan standard seperti radiasi, pembedahan atau kemoterapi.
Penyakit maut itu juga tidak kembali menghuni badan mana-mana pesakit yang telah bebas kanser sehingga dua tahun.
“Ini adalah satu berita yang sangat menggembirakan apabila ujian klinikal selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil memuaskan.
“Dalam masa sama, saya berjaya mengekalkan semua fungsi normal badan pesakit yang biasanya hilang akibat radiasi atau pembedahan,” kata salah seorang pakar onkologi dalam ujian itu, Dr. Andrea Cercek.
Keputusan percubaan itu telah diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine dan dipaparkan pada perhimpunan terbesar ahli onkologi klinikal Britain pada Jun 2022. – Agensi