fbpx

Jadi pemandu bijak, bukan bersantai di lorong laju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MINGGU ini suasana di lebuh raya kembali sibuk. Meskipun tidak seperti kesibukan menjelang Aidilfitri pada awal Mei lalu, namun kesesakan sama ada ke utara, selatan atau timur tanah air tetap terasa.

Ada seorang rakan terpaksa memandu hampir 14 jam dari Alor Setar ke Melaka baru-baru ini. Kelihatannya jika anda mahu ke mana-mana destinasi ketika musim cuti sekolah ini, sila bersiap sedia dari segi mental dan fizikal.

Persiapannya bukan sahaja melibatkan kenderaan yang perlu dipastikan dalam keadaan baik tetapi yang paling penting ketahanan diri untuk berdepan kesesakan yang menyebabkan kepenatan berganda.

Kita bukan sahaja berdepan kesesakan di lebuh raya tetapi juga kesesakan di kawasan rehat dan rawat (R&R). Sukar mendapat tempat letak kenderaan, terpaksa beratur untuk ke tandas, malah ruang untuk makan dan minum pun terpaksa berebut antara satu sama lain.

Namun, selain apa yang disebutkan tadi suatu yang penulis perhatikan ialah sikap atau cara pemanduan rakyat kita seolah-olah tidak pernah berubah.

Kita telah disediakan kemudahan lebuh raya untuk perjalanan lancar dan selesa dari utara ke selatan dan timur secara berperingkat sejak tahun 1982 lagi. Malah, selepas Lebuh Raya Utara-Selatan siap, pelbagai lebuh raya lagi dibina bagi memenuhi keperluan orang ramai.

Rasanya usia 40 tahun itu sudah cukup lama untuk kita mengetahui cara yang betul, matang dan ‘dewasa’ menggunakan kemudahan berkenaan dengan sebaiknya.

Malangnya, fungsi lorong-lorong di lebuh raya masih kita gagal untuk mematuhi peraturannya (atau sengaja buat-buat tidak tahu?). Sebilangan pemandu lebih selesa memandu perlahan dan santai di lorong tengah. Maka, berlakulah senario lorong kiri kosong.

Kesukaran timbul kepada pemandu yang memandu pada kelajuan lebuh raya 100-110 kilometer sejam, kerana berada pada lorong paling kanan pastinya menempah kemarahan pemandu ‘supercar’ (termasuk Viva), manakala lorong tengah terhalang dengan pemandu perlahan yang seolah-olah memandu di jalan raya tepi pantai menikmati suasana ombak dan bayu.

Untuk pengetahuan, pihak lebuh raya menyediakan dua, tiga atau empat lorong dengan fungsi yang tersendiri. Lorong kanan adalah laluan memotong bagi kenderaan ringan, manakala lorong tengah untuk kenderaan berat memotong atau kenderaan ringan bergerak laju.

Lorong paling kiri pula adalah lorong perlahan yang juga merupakan laluan kenderaan berat, manakala lorong kecemasan adalah laluan penyelenggaraan lebuh raya, penguat kuasa dan bantuan semasa kemalangan.

Jika anda memandu perlahan di lorong tengah, maka pergerakan di lebuh raya akan tersekat dan menjadi tidak lancar. Akhirnya anda menjadi ‘kepala kereta api’ di lebuh raya.

Tolonglah wahai pengguna lebuh raya! Fahami di mana lorong sepatutnya jika anda perlahan, laju atau memotong. Kepada penguat kuasa rasa tiba masanya melaksanakan tindakan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu kesalahan memandu perlahan di sebelah kanan (atau tengah?) di lebuh raya.

Selamat bercuti. Selamat menjadi pemandu bijak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI