BANDAR RAYA KUWAIT -Sebuah bandar di Kuwait, Al Jahra merekodkan suhu paling panas di muka Bumi tahun ini dengan catatan mencecah 50 darjah Celsius, lapor laman berita Gulf News, semalam.
Menurut indeks suhu global, Al Jahra mencatatkan suhu tertinggi di Bumi pada Ahad lalu, dan diikuti oleh bandar Al Wafra dengan 49.7 darjah Celsius.
Kuwait dan bahagian selatan Iraq, selain timur dan timur laut Arab Saudi, kini terjejas oleh jisim udara yang sangat panas dengan kesannya dijangka berterusan sepanjang minggu bersama catatan suhu melebihi 50 darjah Celsius.
Tahun lalu, bandar Nawasib yang juga terletak di Kuwait mencatatkan 53.2 darjah Celsius, suhu tertinggi di dunia setakat ini.
Musim panas Kuwait bermula apabila ketiadaan hujan, suhu panas tinggi dan angin kencang yang mula bertiup pada akhir Mei serta berterusan sehingga pertengahan Julai yang mencetuskan ribut debu.
Haba yang tinggi adalah disebabkan oleh pergerakan angin tekanan rendah India ke arah Pergunungan Zagros, di mana angin kehilangan habanya akibat mampatan pada ketinggian tinggi pada kadar enam darjah setiap kilometer. – Agensi