fbpx

Kelengkapan umrah suami, isteri musnah dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rahimah sayu melihat rumah kedai yang disewanya musnah dalam kebakaran di Jalan Pintu Geng, Kota Bharu hari ini. FOTO ROHANA MOHD.NAWI

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri berputih mata selepas segala persiapan termasuk dokumen untuk menunai umrah pada Ogos ini musnah dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Pintu Geng, Kampung Kota di sini hari ini.

Wan Rahimah Wan Abdullah, 52, menyedari kejadian itu pada pukul 6.50 pagi selepas selesai menunaikan solat subuh.

Menurutnya, ketika itu, dia mendengar suara abang iparnya, Othman Salleh, 70, yang juga orang kelainan upaya (OKU) memanggilnya dari dalam bilik di tingkat bawah sebelum berlaku beberapa kali letupan kecil.

“Saya segera turun ke bawah dan menyelamatkan abang ipar yang kudung kaki kiri akibat kencing manis. Saya berusaha memapah dan mengheretnya sejauh 20 meter untuk keluar melalui pintu dapur rumah

“Saya sempat memanggil anak bongsu (Ahmad Arief Amsya Anuar) supaya keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Wan Rahimah, ketika kejadian, suaminya, Anuar Abdullah, 54, tiada di rumah kerana mempunyai urusan kerja di Kedah.

Katanya, dia amat terkilan apabila semua persiapan barangan untuk menunai umrah pada Ogos termasuk wang tunai RM7,000 yang disimpan dalam almari di tingkat atas hangus.

Selain itu, sebuah kereta jenis Proton Preve dan sebuah motosikal turut rosak akibat terkena api kebakaran.

“Meskipun tinggal sehelai sepinggang, saya tetap bersyukur kerana kami selamat. Saya menyewa rumah kedai ini sejak lebih 30 tahun lalu dan membuka kedai makan bagi meneruskan perniagaan arwah kakak.

“Buat masa ini, saya menumpang di rumah saudara terdekat di Kampung Sireh sementara mencari rumah sewa lain,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI