PETALING JAYA – Rentetan impak drama Melur Untuk Firdaus yang tular sehingga ke beberapa buah negara jiran, pelakon Meerqeen mengakui menerima lambakan mesej setiap hari dalam Instagram (DM) oleh peminat dari Indonesia yang ingin mengenali dirinya.
Bahkan, pelakon berusia 20 tahun itu ketika dihubungi Kosmo! Online turut mendedahkan terdapat mesej yang diterimanya berupa luahan cinta daripada peminat yang menaruh hati terhadapnya selepas menonton drama arahan pengarah Zamri Zakaria itu.
“Memang ada. Setiap hari saya menerima banyak kiriman mesej daripada peminat selepas drama Melur Untuk Firdaus tular ke beberapa buah negara. Memang saya tidak nafikan impak drama ini cukup luar biasa,” katanya.
Ujar pelakon berwajah ‘oppa’ itu lagi, dia bukan sahaja menerima mesej dalam kalangan peminat Indonesia bahkan dari beberapa buah negara lain seperti Thailand, Filipina termasuk dari Maghribi serta Mesir.
“Peminat dari Turki pun ada yang mengirim mesej kepada saya selepas tular drama Melur Untuk Firdaus.
“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana drama Melur Untuk Firdaus memberikan impak yang sangat luar biasa untuk semua peminat.
“Paling menggembirakan apabila drama ini trending sampai ke luar negara dan mendapat perhatian peminat dari beberapa negara tetangga. Bukan sahaja negara jiran bahkan sehingga ke beberapa buah negara Asia yang lain. Saya amat hargai sokongan mereka,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Kata pemilik nama lengkap Muhammad Syameer Shauqeen Shaiful Izam itu lagi, dia menganggap rezeki itu sebagai langkah kanan dan pembakar semangat untuk dirinya terus memberikan yang terbaik dalam bidang lakonan.
“Bagi saya ini bukan kejayaan kepada pelakon semata-mata sebaliknya kepada pihak kru dan produksi yang bertungkus-lumus dari awal lagi untuk menjayakan produk ini hingga ditayangkan kepada umum,” jelasnya.
Dalam pada itu, Meerqeen turut mendedahkan pernah menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah sinetron di Indonesia sebelum ini, namun terpaksa menolaknya kerana kepadatan waktu kerja di Malaysia.
Bagaimanapun, bekas peserta pertandingan Hero Remaja itu sudah menyimpan niat untuk mengembangkan kerjaya lakonannya ke Indonesia dan mencipta karier di negara republik itu.
“Saya memang teringin dan sudah memasang niat untuk berlakon di sana (Indonesia). Produksi di sana sangat besar berbanding di sini (Malaysia). Kalau dapat peluang itu, saya memang akan pergi.
“Saya tidak akan berhijrah ke Indonesia kerana prioriti saya masih lagi di sini. Cuma saya akan seimbangkan kerjaya saya di kedua-dua buah negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Meerqeen turut berterima kasih kepada peminat kerana sentiasa menyokong kerjayanya dan berharap supaya terus diberikan sokongan daripada peminatnya.
“Untuk mereka yang sentiasa menyokong, saya amat hargainya. Untuk peminat baru pula, selamat menikmati karya Melur Untuk Firdaus dan teruskan memberikan sokongan kepada kami semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE