PETALING JAYA – Penyanyi lagu-lagu irama Malaysia, Noraniza Idris pernah beberapa kali menolak tawaran daripada individu yang ingin mencadangkan namanya supaya dikurniakan gelaran Datuk.
Ujar Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, dia menolak menerima gelaran tersebut kerana merasakan dirinya belum cukup layak untuk menerima gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Raja-Raja.
“Memang ada beberapa tawaran daripada orang tengah yang mahu mencadangkan nama saya. Tapi saya tolak sebab merasakan diri belum cukup layak.
“Apa sumbangan saya? Saya memang tidak boleh terima. Saya bukanlah orang yang berjaya. Kalau ada saya memberi sumbangan besar, itu tidak mengapa,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ujar pelantun lagu Dikir Puteri itu lagi, dia segan untuk ‘memikul’ gelaran tersebut memandangkan dirinya bukanlah seorang jutawan yang mampu membantu orang lain.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Skim Rumahku Syurgaku dan Pelantikan Duta Pelancongan Seni dan Budaya anjuran MRF Consultant Sdn. Bhd. di ibu kota, semalam.
Sementara itu bercakap tentang perkembangan konsert terakhirnya, Malai Solo pada Oktober nanti, Noraniza sudah pun mula bergerak melakukan persiapan menjelang hari bersejarah itu.
“Beberapa mesyuarat sudah pun dibuat. Kru produksi juga sudah ada. Senarai lagu pun sama. Cuma akan dipilih semula oleh pengarah muzik.
“Saya mahu lakukan yang terbaik. Malai Solo adalah konsert terakhir saya dan melibatkan kos yang sangat tinggi,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Noraniza juga memaklumkan bahawa dia perlu menjaga stamina selain menurunkan berat badan untuk beraksi pada konsert itu nanti.
Malah dia juga ditawarkan ‘habuan’ berupa wang tunai oleh anaknya jika berjaya berbuat demikian.
“Anak tawarkan wang tunai sebanyak RM10,000 dengan syarat saya kurangkan berat sebanyak 20 kilogram (kg).
“Tempoh mereka berikan sehingga September. Saya boleh buat. Anggaran saya setiap bulan hilang lima kg,” katanya. – KOSMO! ONLINE