PETALING JAYA – Pelakon Fify Azmi membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang juga pembantu peribadinya.
Fify berkata, individu itu mengambil bayaran berjumlah RM15,000 bagi pihaknya secara senyap-senyap untuk projek bersama sebuah syarikat produksi.
“Kalau ikutkan bayaran tersebut sepatutnya dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi saya tetapi tanpa saya tahu, dia awal-awal lagi telah meminta akauntan syarikat produksi itu membuat bayaran atas namanya.
“Selama lebih dua bulan terbabit dalam projek itu, saya terdetik untuk bertanya mengenai pembayaran tersebut kepada syarikat terbabit.
“Mereka memberitahu sudah membuat tiga kali pembayaran yang semuanya berjumlah RM15,000 kepada wanita itu.
“Sumpah saya memang bengang kerana tidak dimaklumkan langsung pun mengenai urusan pembayaran itu. Bila tanya dia, macam-macam alasan dia beri untuk mengelak daripada tertangkap,” katanya.
Bagaimanapun, Fify sudah pun membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya pada Isnin lalu.
Tambah Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, 32, dia memang menyesal dan terkilan, sekali gus hilang kepercayaan kepada pengurus peribadinya itu.
“Kalau ikutkan, saya memang tak nak ada pembantu peribadi, tapi saya beri peluang kepadanya untuk bekerja walaupun memang sebelum ini ada dengar perkara negatif mengenainya.
“Tak sangka pula bila diberi peluang, dia tipu saya hidup-hidup,” ujarnya yang berkeras mahukan wanita itu tampil memberikan kerjasama dan memulangkan semula wang miliknya.
Dalam pada itu, pembantu peribadinya tampil menjelaskan keadaan sebenar dengan berkata, kesilapan berlaku daripada dirinya sendiri kerana tidak sedar bayaran penuh sudah dibuat syarikat produksi tersebut ke dalam akaunnya.
Dia yang mendakwa segala bayaran dimasukkan ke dalam akaunnya kerana Fify tidak pandai mengeluarkan invois berkata, dia masih mempunyai baki RM12,000 untuk dibayar kepada pelakon itu. – KOSMO! ONLINE