fbpx

Ambil upah cucuk sate sara keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suzzana menerima sumbangan barang keperluan daripada petugas MAIPk semasa menziarahi keluarganya di Ulu Kinta semalam.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Pendapatan Muhamad Ridzuan Abu Bakar yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di Tambun dekat sini biar pun kecil tetapi ia cukup untuk menyara kehidupannya, isteri dan seorang anak berusia empat tahun.

Bagaimanapun, kemalangan jalan raya yang berlaku beberapa bulan lalu menyebabkan Muha­mad Ridzuan, 30, mengalami kecederaan pada kaki kirinya dan kini terlantar di rumah.

Disebabkan itu, tugas sebagai ketua keluarga terpaksa digalas oleh isterinya, Suzzana Shuib, 31, yang mengambil upah mencucuk sate.

Namun pendapatan tersebut hanya mampu untuk membeli barang-barang keperluan harian dan perbelanjaan anak.

Kerana kehidupan yang hanya cukup-cukup makan, sewa rumah yang dihuni telah tertunggak lebih empat bulan selain terpaksa berjimat-cermat.

“Buat masa ini suami masih belum mampu bekerja, jadi saya mengambil upah mencucuk sate kerana pada masa sama perlu menjaga suami dan anak.

“Sumber kewangan yang ada pun terhad kerana sebelum ini saya hanyalah suri rumah,” ujar Suzzana.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian pihak Skuad Prihatin Asnaf (SPA) Majlis Aga­ma Islam Perak (MAIPk) apa­bila turun padang menziarahi rumah Muhamad Ridzuan di Kampung Tersusun Batu 6, Ulu Kinta dekat sini.

Pengurus Agihan Zakat MAIPK, Ahamad Muzammil Arbain berkata, pada sesi ziarah pi­hak MAIPk telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan kotak makanan untuk meringankan beban keluarga ter­sebut.

“Puan Suzzana kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana suaminya belum mampu bekerja akibat kema­la­ngan.

“Kita juga akan melihat lain-lain bentuk bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan kepada keluarga ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI