LONDON – Lebih 3,300 pekerja daripada 70 syarikat di Britain mengambil bahagian dalam program perintis selama enam bulan untuk mengkaji manfaat bekerja empat hari seminggu, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Program tersebut dianjurkan oleh pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, 4 Day Week Global bersama kumpulan pemikir, Autonomy dan pasukan penyelidik dari Universiti Cambridge, Universiti Oxford serta Kolej Boston.
Sepanjang kajian itu berlangsung, pasukan penyelidik akan mengukur produktiviti dan kesejahteraan pekerja di samping tahap tekanan serta keletihan mereka.
Profesor sosiologi di Kolej Boston, Juliet Schor berkata, program itu menandakan hari bersejarah untuk pengurangan masa kerja di Britain.
“Masa yang sempurna (untuk kajian) selepas sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth. Sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Apabila ditanya sama ada pekerja terbabit perlu bekerja 40 jam seminggu seperti waktu bekerja lima hari, Schor berkata, mereka perlu mempunyai pengurangan waktu kerja yang ketara tanpa pemotongan gaji.
Program perintis itu menggunakan model pekerjaan 100:80:100 di mana pekerja menerima gaji 100 peratus untuk 80 peratus masa bekerja, namun masih mengekalkan 100 peratus produktiviti, lapor akhbar The Guardian.
“Apabila kita bangkit daripada pandemik (Covid-19), semakin banyak syarikat menyedari bahawa aspek baharu untuk persaingan adalah kualiti hidup pekerja dengan tawaran jam bekerja lebih rendah di samping tumpuan kepada produktiviti menjadi mekanisme untuk memberikan kelebihan dan menjadikan sesebuah syarikat lebih kompetitif.
“Kesan daripada trend peletakan jawatan besar-besaran yang berlaku membuktikan bahawa pekerja daripada pelbagai bidang industri boleh memberikan hasil lebih baik dengan bekerja lebih singkat dan lebih bijak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif 4 Day Week Global, Joe O’Connor kepada akhbar Independent.
Sebuah lagi badan pemikir Britain, Institut Hak Pekerjaan menyatakan, pihaknya akan menerbitkan penemuan mengenai kajian pengurangan masa kerja tanpa memotong gaji.
Percubaan kerja empat hari seminggu itu juga akan bermula pada akhir tahun ini di Sepanyol dan Scotland. – Agensi