fbpx

PBNP dakwa FAM tidak minat bantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUMAREH mencetuskan kontroversi dengan menamatkan kontraknya bersama Pahang sebelum menyertai Police Tero FC.

KEMELUT melibatkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh tiada titik noktah selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera melaksanakan hukuman dan tidak lepas tangan.

Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf berkata, aduan yang dilakukan secara bertulis kepada FAM pada 11 September lepas masih belum dibalas, selain percaya badan induk bola sepak negara itu seperti tidak berminat untuk menyelesaikan kes Sumareh.

“PBNP sudah membuat aduan kepada FAM namun tiada kecen­derungan dan tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu berkenaan.

“FAM hanya mahu menunggu keputusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu dan ini tidak boleh diterima dan dianggap tidak berasas.

“Sumareh adalah pemain tempatan dan kes ini membabitkan kawalan dan bidang kuasa FAM dan sebagaimana badan induk bola sepak negara yang menaungi ahli gabungan seperti PBNP, FAM selayaknya membantu bagi penyelesaian kemelut ini supaya keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Norlia percaya pemain kelahiran dari Gambia itu telah membuat tuduhan palsu, rekaan dan hanya mahu manipulasi untuk tujuan tertentu, sekali gus memberi pandangan negatif kepada badan induk bola sepak Pahang.

“PBNP mempunyai bukti kukuh serta dokumen sah untuk memasti kami di pihak yang benar. Jika FAM tidak berminat untuk mengendalikan kes ini, PBNP tidak teragak-agak untuk melanjutkan ke Pesuruhjaya Sukan,” katanya.

Sebagai rekod, Sumareh mencetus kontroversi sejak bulan lalu apabila menamatkan kontraknya bersama skuad Tok Gajah sebelum membuat keputusan untuk menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya bukan mengambil sikap berdiam diri tetapi sebaliknya mahu me­nunggu keputusan daripada FIFA sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Kata Stuart, pemain berusia 26 tahun itu terlebih dahulu membuat aduan kepada FIFA dan kemungkinan perbezaan keputusan berlaku jika FAM turut mengadili isu terbabit.

“Walaupun dia (Sumareh) pemain tempatan, kes itu telah dibawa ke FIFA, maka tidak boleh ada dua mahkamah berbeza untuk mendengar kes yang sama.

“Justeru, kami kena tunggu keputusan daripada badan induk bola sepak antarabangsa itu terlebih dahulu dan jika jawatankuasa mereka mahu merujuk isu itu ke FAM, pasti kami akan membantu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI