PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberi ruang buat skuad bawah 23 (B-23) negara melengkapkan aksi terakhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan sebelum membuat penilaian penuh terhadap prestasi pasukan.
Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya menjadi pasukan ‘belasahan’ pada kempen Kumpulan C saingan Piala Asia B-23 selepas tewas 1-4 kepada Korea Selatan dan 0-3 kepada Thailand sekali gus gagal melayakkan diri di peringkat suku akhir.
Keputusan tersebut secara tidak langsung menyaksikan ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney menyerahkan nasibnya kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu sama ada dikekalkan atau sebaliknya.
Namun, Hamidin mahu barisan kejurulatihan memberikan tumpuan penuh ke atas perlawanan terakhir menentang Vietnam pada malam ini sebelum meneliti laporan selepas mereka dijangka pulang ke tanah air esok.
“Skuad B-23 negara masih ada satu lagi perlawanan yang perlu diharungi di Uzbekistan dan biarlah mereka fokus dengan aksi tersebut dahulu dengan memberikan sesuatu positif walaupun pintu ke suku akhir sudah tertutup
“Secara jujur, bukan sahaja peminat yang kecewa dengan keputusan yang direkodkan tetapi sudah tentu saya menjadi individu paling kecewa.
“Apa yang pasti, kami akan meneliti laporan penuh yang akan diberikan oleh Maloney sebelum persatuan membuat keputusan sewajarnya demi martabat bola sepak negara,” kata Hamidin.
Pengendali import dari Australia itu sebelum ini turut gagal membantu skuad muda negara untuk mengutip sebarang kilauan pingat pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam selepas menamatkan saingan di tempat keempat bulan lalu.
INFO
PIALA ASIA B-23
JADUAL
MALAM INI
MALAYSIA lwn VIETNAM
Stadium Lokomotiv, Tashkent, 9 mlm
THAILAND lwn KOREA SELATAN
Stadium Pakhtakor, Tashkent, 9 mlm
KEDUDUKAN
P M S K J B Mt.
KOREA SELATAN 2 1 1 0 5 2 4
THAILAND 2 1 1 0 5 2 4
VIETNAM 2 0 2 0 3 3 2
MALAYSIA 2 0 0 2 1 4 0