fbpx

HFMD: Ibu bapa jangan degil, elak bawa anak kecil di tempat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selepas cuti sekolah dikhuatiri penularan HFMD. - Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

TERUJA melihat rakaman foto yang dikongsikan rakan-rakan di media sosial sepanjang percutian mereka bersama keluarga sempena musim cuti persekolahan yang bermula Isnin lalu.

Bagaimanapun, penulis agak tersentuh melihat beberapa orang rakan lain yang terpaksa menghabiskan masa di rumah bagi merawat anak-anak mereka yang dijangkiti Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Laman sosial boleh dium­pamakan seperti medan meluah rasa. Hampir setiap hari ada sahaja luahan yang dicoretkan terutamanya jika anak-anaknya mengalami simptom teruk.

Ada yang sukar makan dek lepuhan teruk dalam mulut, ada juga yang mengalami demam panas selama berhari-hari.

Dalam keluh-kesah yang dikongsikan itu, penulis sempat memerhati beberapa rakan yang memandang ringan dan mengamalkan sifat sambil lewa dalam merawat si anak yang sakit. Apa yang mengejutkan, ada di antara ibu bapa ini masih membawa anak bersiar-siar ke tempat awam biarpun masih belum sembuh sepenuhnya.

Biarpun ditegur, mereka tetap berkeras dan mendakwa anak-anak tersebut tidak akan menjangkiti orang lain kerana hanya mengalami simptom ringan.

Bagaimanapun, mereka mungkin lupa bahawa jangkitan boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair dari lepuh kulit, hidung dan lelehan tekak (termasuk air liur, kahak atau lendir hidung), titisan (bersin, batuk) dan najis (kotoran).

Bukan itu sahaja, lepuhan kulit HFMD masih boleh berjangkit sehingga ia menjadi berkerak dan tiada cecair dalam lepuh.

Disebabkan itu jugalah kebersihan diri yang baik penting untuk mengelakkan penularan jangkitan kepada orang lain.

Melihatkan wujudnya golongan sambil lewa seperti inilah, Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman menyarankan kerajaan untuk mengenakan peraturan lara­ngan sementara untuk anak-anak berusia kurang 12 tahun daripada berada di tempat-tempat awam bagi mengurangkan kes HFMD.

“Jangkitan HFMD ini boleh berlaku secara mendadak di­sebabkan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran berbanding tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pencemaran silang dari bendalir tubuh seperti air liur, hingus, kahak, najis atau dari kontaminasi dari tangan individu yang tersentuh bendalir tersebut tetapi tidak dicuci bersih memungkinkan peningkatan kes yang mendadak,” jelasnya.

Katanya lagi, ibu bapa yang telah diberi cuti kuarantin perlu amanah dan bertanggungjawab terhadap cuti yang diberikan dan tidak menyalahgunakan cuti se­perti pulang ke kampung atau bercuti ke tempat peranginan.

“Saya mengesyorkan agar kerajaan mengenakan denda kepada ibu bapa yang menyalahgunakan cuti kuarantin yang diperoleh. Denda boleh dibuat dalam bentuk potongan elaun oleh majikan atau pembatalan rebat tertentu dalam cukai pendapatan.

“Sekiranya kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dirawat dengan baik, mereka berisiko mendapat komplikasi sawan dan sebahagian juga mungkin mendapat radang jantung, radang paru-paru atau komplikasi pada otak dan sistem saraf pusat.

“Jika mereka tidak prihatin terutama semasa membersihkan anak-anak selepas ke tandas atau ketika menukar lampin, besar kemungkinan tularan boleh berlaku,” tambahnya.

Hakikatnya, memang tidak salah untuk menghiburkan anak-anak, tetapi jangan pula bersikap pen­tingkan diri sehingga menyusahkan orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI