SKUAD Harimau Malaya optimis dapat memburu tiga mata berharga menjelang aksi pembukaan Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 apabila dijadualkan menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan pasukan negara perlu kekal mensasarkan tujuh mata pada saingan kelayakan kali ini andai mahu melangkah ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
“Saya pernah kata sebelum ini yang mana kita perlu mendapatkan tujuh mata untuk layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2023 dan sasaran tersebut tidak berubah.
“Justeru, kita perlu meraih kemenangan ke atas Turkmenistan untuk mencerahkan peluang pasukan tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh terlalu yakin kerana pasukan lawan memiliki kekuatan tersendiri.
“Apa yang pasti, kami sudah melakukan analisis mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan dan saya pasti semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk mengikuti arahan taktikal yang diterapkan sebaiknya,” katanya pada sidang media di Subang Jaya semalam.
Sementara itu, pengendali import dari Korea Selatan itu turut mengesahkan semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan meskipun dua tonggak utama, Safiq Rahim dan Akhyar Rashid dilaporkan tidak menyertai sesi latihan kelmarin.
“Berdasarkan laporan yang diterima oleh pegawai perubatan kami, mereka berdua tidak mengalami kecederaan serius dan tidak mempunyai masalah untuk diturunkan pada perlawanan esok (malam ini).
“Siapa sahaja yang diturunkan, saya percaya ini adalah perlawanan yang dinantikan dan saya percaya semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadiahkan keputusan positif buat penyokong bola sepak negara,” katanya.
Malaysia kini berada dalam tahap terbaik untuk melakar kemenangan selepas merekodkan dua kemenangan pada aksi pemanas badan dengan menewaskan Brunei 4-0 dan Hong Kong (2-0) baru-baru ini.