PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita merakam dua orang anaknya bergaduh mendapat kecaman orang ramai.
Menerusi video berdurasi 11 saat itu, kelihatan dua orang anak kecil bergaduh dengan menarik rambut sesama sendiri sehingga salah seorang daripada mereka menangis.
Bagaimanapun, individu yang merakam video tersebut dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu hanya berdiam diri dan tidak meleraikan pergaduhan.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata mengecam tindakan perakam yang dianggap sanggup membiarkan situasi itu berlaku semata-mata mahu dijadikan ‘content’ di laman TikToknya.
“Anak gaduh dibuat ‘content media’ sosial. Betul sakit masyarakat kita sekarang,” kata Abernathy.
“Jadi mak bapak bertanggungjawab, apa dapat rakam dan kongsi di Facebook. Lebih baik tegur dan didik anak itu untuk betulkan sikap mereka. Muhasabah diri sikit,” kata Faizan.
“Kalau nampak anak-anak bergaduh, cepat-cepat leraikan jangan dibiarkan. Nanti mereka ingat perbuatan itu betul. Tambah-tambah lagi di tempat awam, tak manis orang tengok,” kata Aiman.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 2,000 kali. – KOSMO! ONLINE