fbpx

Selangor Angels dipaksa kerja keras sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain tengah (C) Selangor Angels, Nur Anis Syafika Shahidan (tengah) cuba mengawal bola pada perlawanan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 menentang Perak Phoenix di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR – Selangor Angels menebus kekecewaan tewas kepada Kuala Lumpur (KL) Wildcats selepas membenam cabaran Perak Phoenix menerusi kemenangan 51-42 pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 sebentar tadi.

Seperti dijangka, Selangor yang merupakan antara pasukan pilihan musim ini bermula garang apabila melancarkan serangan bertali arus diketuai goal attack (GA) utama mereka, L. Karishma.

Penyudah yang baik ditunjukkan Selangor selain bijak mematahkan serangan Perak membolehkan mereka menguasai perlawanan dan menamatkan aksi suku masa pertama dengan kelebihan 15-8.

Aksi di suku masa kedua menyaksikan Selangor sedikit tertekan apabila Perak mula memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan kedudukan 12-16 bagi menghidupkan peluang melakar kebangkitan.

Bagaimanapun, prestasi mantap ditampilkan Karishma dalam merencana gerakan pasukan Selangor berjaya membantu skuad kendalian Azizah Abu itu menambah jaringan dan menamatkan suku masa tersebut dengan 26-17.

Bersambung suku masa ketiga, Perak dilihat mendominasi sebahagian besar permainan untuk merapatkan kedudukan, namun Selangor kembali menyusun serangan bagi memastikan mereka terus selesa mendahului 42-32.

Perak mengerah segala kudrat sebaik sahaja suku masa keempat bermula dan berjaya merapatkan kedudukan 37-44 sebelum Selangor kembali memperkemaskan permainan bagi memastikan kemenangan mutlak 51-42.

Selepas ini, Selangor akan meneruskan aksi NSL 2022 berdepan pasukan tangga tercorot, Melaka Mystic Jumaat nanti manakala Perak bakal berentap dengan juara musim lalu, Kuala Lumpur (KL) Wildcats.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI