fbpx

Gunung Jerai kembali bersih, tiada lagi aktiviti khurafat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengunjung membasuh muka untuk merasai sejuknya air di Perigi Tok Sheikh di Gunung Jerai, Yan semalam.

YAN – Aktiviti pemujaan dan khurafat di Gunung Jerai di sini, didapati sudah banyak berkurangan apabila didapati tiada lagi kesan atau tanda-tanda amalan itu dilakukan di kawasan tertentu yang didakwa mempunyai ‘keramat’ di lokasi pelancongan itu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kawasan tumpuan seperti air terjun di kaki gunung, Perigi Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh dan Air Terjun Puteri Mandi bersih daripada aktiviti tersebut.

Sebelum ini, tempat tersebut didakwa mempunyai ‘keramat’ apabila terdapat individu atau kumpulan tertentu yang datang ke situ semata-mata untuk me­lakukan ritual pemujaan.

Ada yang membuat pemujaan dengan barangan ‘persembahan’ berupa ayam yang telah disembelih, pulut kuning serta telur selain ritual tarik duit atau harta karun dan mandi bunga serta membuang saka.

Seorang penduduk tempatan yang juga pemburu harta karun serta mahu dikenali sebagai Azman, 58, berkata, dia sebelum ini aktif membawa pemburu harta karun untuk mencari harta atau emas yang kononnya tersimpan di gunung berkenaan.

“Kalau dahulu, memang ramai yang datang cari saya untuk bantu tunjuk jalan ke kawasan yang mungkin tersimpan harta karun tetapi kegiatan itu semakin berkurangan lebih dua tahun lalu.

“Saya pun sudah tidak mahu bantu mereka lagi kerana sepanjang pengetahuan saya, tiada sesiapa yang pernah berjaya mendapat apa yang dihajati,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

PENGUNJUNG berkhemah secara berkumpulan di tepi Padang Tok Sheikh untuk menikmati pemandangan indah Gunung Jerai.

Katanya, amalan khurafat tersebut juga didapati terus berkurangan selepas berlaku tragedi kepala air atau aliran ­puing di gunung berkenaan yang meragut enam nyawa serta me­ranapkan rumah penduduk pada 18 Ogos tahun lalu.

“Saya lihat kini Gunung Jerai banyak dikunjungi pelancong yang datang bermalam di puncak gunung untuk menghayati keindahan di sini,” jelasnya.

Dia bagaimanapun tidak menolak terdapat sebilangan kecil individu yang masih menjadikan gunung berkenaan sebagai tempat pemujaan atas kepentingan diri masing-masing.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Habibah Halim, 45, berkata, ia merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki di puncak gunung itu.

“Pada mulanya saya tidak bersetuju dengan cadangan suami, Mansor Mohamad, 47, untuk bawa anak bercuti di sini kerana terbaca amalan khurafat di sini.

“Namun, selepas bermalam di sini dan melakukan lawatan ke tempat yang dianggap keramat seperti Perigi Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh dan Air Terjun Puteri Mandi, saya dapati tidak berlaku amalan seperti itu,” katanya.

Seorang guru dari Perak yang mahu dikenali sebagai Halim, 47, pula berkata, dia mengambil ke­sempatan mengunjungi beberapa lokasi di Gunung Jerai, namun selepas dua hari berada di situ tiada pihak yang melakukan ke­giatan seperti itu.

“Kita percaya pihak berkuasa agama negeri ini telah melakukan pemantauan untuk mengekang kegiatan itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Rosli Mohd. Dan, 38, berkata, dia telah beberapa kali terserempak aktiviti salah di lokasi itu, namun kunjungan terbaharunya mendapati Gunung Jerai sudah bersih daripada amalan khurafat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI