JASIN – Enam beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan percakapan terbunuh selepas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, di sini semalam.
Anak kedua mangsa, Munirah Ezuddin, 21, berkata, ibunya, Surayah Muhamat, 48, serta bapanya, Ezuddin Mohammad, 50, merupakan OKU sejak lahir dan pasangan itu sentiasa bersama-sama dalam melakukan rutin, termasuk bekerja di kilang sama sejak 25 tahun lalu.
“Ibu dan ayah memang selalu bersama-sama, kerja pun tempat sama dan saya tidak sangka mereka berdua meninggal pergi serentak dalam kemalangan ini. Kami lima beradik pula jadi yatim piatu.
“Allah lebih menyayangi mereka, namun kami sekeluarga berharap pemandu mabuk itu akan dikenakan hukuman setimpal kerana kami bukan kehilangan satu nyawa tetapi dua,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin, di sini semalam.
Tambahnya, dia mempunyai lima beradik lain dengan empat daripadanya masih bersekolah berusia antara 16 hingga 10 tahun dan menetap di rumah nenek di Tambak Bugis.
Ujarnya, kemalangan itu hanya diketahui pada pukul 8 pagi menerusi ‘group’ WhatsApp keluarganya apabila terdapat individu memaklumkan mengenai kemalangan menggunakan telefon bimbit ibunya.
“Kami tak tahu ibu dan ayah keluar ke mana, sama ada membeli sarapan atau berjumpa rakan nelayan di Serkam memandangkan ayah sebelum ini ada menyimpan hasrat nak jadi nelayan kerana sudah tidak tahan bekerja di kilang.
“Tiba-tiba dalam group WhatsApp ada orang ‘text’ guna telefon bimbit ibu, ‘Assalammualikum saya nak bagitahu tuan punya telefon terlibat kemalangan’ dan dia turut kongsikan lokasi, kami bergegas ke sana,” katanya.
Mengulas lanjut dia memberitahu, sebelum kemalangan, mereka sekeluarga sempat berjalan-jalan di sekitar Banda Hilir, semalam.
“Kami sekeluarga sempat berjalan bersama-sama, memang semuanya seronok, malah kami sekeluarga juga sebenarnya dalam perancangan untuk berpindah ke rumah baharu di Sebatu dalam masa terdekat.
“Ayah juga telah beli kelengkapan rumah termasuk mesin basuh dan ibu pula meminta saya untuk mereka hias dalam rumah, namun semua tidak kesampaian,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Balik Bukit, Bukit Lintang, di sini, malam tadi. -KOSMO! ONLINE