PETALING JAYA – Kru kabin syarikat penerbangan bersyukur apabila kehidupan mereka kini kembali bersinar apabila rata-ratanya dipanggil untuk berkhidmat semula selepas pintu sempadan antarabangsa dibuka pada April lalu.
Seorang pramugari, Nurul Iman Hamri, 34, berkata, hidupnya seperti ‘hilang arah’ ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan semua pihak termasuk kru kabin terjejas.
Katanya, kehidupannya kembali ceria selepas dipanggil semula untuk kembali bertugas selepas hampir 11 bulan diberi cuti tanpa gaji kerana tiada penerbangan antarabangsa mahupun domestik.
“Saya melakukan pelbagai jenis kerja ketika PKP seperti menjahit baju dan membantu peniaga ikan di pasar dengan purata pendapatan RM80 sehari di Sabah. Saya tidak boleh menetap di Kuala Lumpur kerana kos sara hidup yang tinggi.
“Bila dipanggil semula saya rasa bersyukur sangat kerana kehidupan kru kabin mula berubah. Rasa bahagia apabila dapat membawa rakyat Malaysia ke pelbagai destinasi termasuk London dan Sydney dengan menaiki pesawat Airbus A350 dan A330,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut Nurul Iman, selain penerbangan antarabangsa, mereka juga ditugaskan untuk penerbangan domestik seterusnya mampu meraih pendapatan setimpal demi kelangsungan kehidupan.
Tambahnya, dia berharap kehidupannya kembali baik apabila dipanggil bekerja semula dan menjalani gaya hidup selesa seperti orang lain.
Bagi pramugara yang dikenali sebagai Adam, 31, dia menggunakan semua wang simpanan untuk menampung hidup ketika diberi cuti tanpa gaji hampir setahun.
“Tiada kerja bukan sahaja menyebabkan wang simpanan habis, malah menjejaskan kesihatan mental.
“Saya ambil keputusan pulang ke kampung dan melakukan apa sahaja kerja untuk menampung kos. Ia sangat berbeza kerana pendapatan sebagai kru kabin agak lumayan,” katanya yang bersyukur apabila dipanggil untuk bekerja semula.
“Apabila negara membuka semula sempadan negara, saya sudah boleh melakukan tugas yang pernah saya lakukan sebelum ini seperti penerbangan ke London, Bangkok, Sydney dan Paris,” katanya.
Sementara itu, Adli Shazwan, 31, berharap agar kes Covid-19 dapat dikawal sebaiknya seterusnya memberi lembaran baharu kepada anak kapal untuk kembali bekerja seperti biasa.
“Sekarang ini, masa penerbangan dicatatkan kembali positif di mana angkanya sekitar 70 jam berbanding ketika PKP dahulu hanya kira-kira 20 jam sahaja.
“Jadi, saya berharap masa penerbangan dapat ditingkatkan sehingga 120 jam seperti dua tahun lalu sekali gus mengembalikan semula kehidupan anak-anak kapal,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE