PETALING JAYA – Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe) melancarkan promosi khas untuk bakal jemaah haji memudahkan mereka merancang harta sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, promosi yang sedang bermula sehingga 25 Jun ini juga akan membantu bakal jemaah haji menyediakan dokumen perancangan harta seperti hibah hartanah yang masih bercagar atau tidak, hibah akaun bersama, hibah saham amanah, hibah akaun emas, hibah barang kemas, hibah akaun perkhidmatan depositori pusat (CDS), pewarisan perniagaan dan wasiat Islam satu per tiga.
“Kami menawarkan perkhidmatan daripada 37 jenis perancangan harta Wasiyyah Shoppe yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Ariffin menjelaskan, setiap tahun kecuali pada 2020 dan 2021, Wasiyyah Shoppe sentiasa menawarkan promosi istimewa untuk bakal jemaah haji bagi memudahkan mereka merancang harta sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Tambah beliau, antara keistimewaan perkhidmatan tersebut adalah ia bersifat holistik dan komprehensif kerana semua keperluan perancangan harta bakal jemaah haji itu boleh dipenuhi melalui tawaran 37 perkhidmatannya dan tidak memfokuskan kepada penyediaan wasiat semata-mata.
“Fungsi wasiat amat terhad dan di dalam banyak keadaan, ia tidak membantu mencapai hasrat bakal jemaah haji secara berkesan.
“Sehubungan itu, di Wasiyyah Shoppe, kami menyediakan dokumen berdasarkan jenis harta dan dokumen yang bersesuaian secara tailor made untuk mereka.
“Selain daripada persediaan ibadah dan kesihatan, antara persiapan yang perlu disediakan oleh bakal jemaah haji adalah perancangan harta mengikut kaedah syariah kerana sifat ibadah haji itu sendiri melibatkan musim yang panjang dan mereka terdedah kepada pelbagai risiko di Tanah Suci,” ujarnya.
Tambah beliau, melalui promosi tersebut, bakal jemaah haji juga akan menikmati diskaun sehingga 20 peratus dan dokumen mereka dijamin akan disediakan dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari bagi memastikan mereka sempat melaksana serta menandatangani dokumen berkenaan sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Semenjak penubuhannya pada 2004, Wasiyyah Shoppe telah membantu lebih daripada 15,000 jemaah haji menyediakan dokumen perancangan harta. -KOSMO!ONLINE