LISBON – Pengurus Portugal, Fernando Santos seakan hilang kata-kata selepas melihat kaptennya, Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk memastikan kemenangan 4-0 ke atas Switzerland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah awal pagi semalam.
Selepas hanya diletakkan di bangku simpanan pada aksi menentang Sepanyol, bintang Manchester United itu pantas menyerlahkan impak untuk memainkan peranan penting buat Portugal.
Keputusan itu mengekalkan rekod baik Portugal sepanjang kempen kali ini.
“Saya tidak tahu apa lagi yang boleh diperkatakan. Saya akan terus ulangi pendirian saya bahawa dia (Ronaldo) adalah pemain terbaik dunia.
“Apa lagi yang boleh saya katakan? Saya fikir semuanya sudah dijelaskan dan sebagai jurulatih, saya gembira apabila pasukan memenangi perlawanan serta bermain seperti kami lakukan ketika latihan,” katanya.
Selain dua gol daripada Ronaldo, dua lagi jaringan Portugal dihasilkan oleh William Carvalho dan Joao Cancelo.
Di sebalik kemenangan besar, Santos turut mengakui yang Switzerland menghadirkan situasi sukar, namun pemain kekal tenang untuk mencari kemenangan.
“Kami mengawal perlawanan dan sepatutnya mampu mendapatkan satu atau dua lagi gol di babak pertama.
“Di babak kedua, permainan sedikit menurun. Swirzerland mencipta banyak masalah, namun kami berjaya mencari penyelesaian,” ujarnya. – AGENSI