PARIS – Jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal memberi bayangan untuk ‘berehat seketika’ sekiranya kecederaan kaki yang dialaminya masih belum pulih selepas meraih kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-14 kelmarin.
Pada aksi final di Roland Garros itu, Nadal tidak mempunyai masalah untuk menewaskan pemain muda dari Norway, Casper Ruud dengan keputusan straight-set 6-3, 6-3, 6-0 dalam tempoh lebih dua jam.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Nadal terus melebarkan rekod kejuaraan bertaraf Grand Slam yang dimenanginya menjadi 22 trofi meninggalkan Roger Federer dan Novak Djokovic yang berkongsi di kedudukan kedua dengan 20 gelaran.
Kata Nadal, buat masa ini kakinya masih memerlukan suntikan setiap hari sebelum perlawanan bagi memastikan saingan kompetitif dapat diberikan dan sekiranya ia berlaku lagi, mungkin hasrat untuk beraksi di Kejuaraan Wimbledon terpaksa dilupakan.
“Saya menerima suntikan di kaki setiap hari sebelum perlawanan dan disebabkan itu saya boleh beraksi dengan baik di Roland Garros sepanjang dua minggu ini.
“Secara jujur, deria kaki saya tidak dapat dirasakan lagi dan disebabkan itu suntikan itu terpaksa dilakukan.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa jalan terbaik adalah untuk melakukan pembedahan.
“Justeru, saya perlu berfikir semasak-masaknya kerana jika pembedahan dilakukan, mungkin saya tidak boleh lagi kekal kompetitif selain tempoh untuk menjalani pemulihan memakan masa yang lama.
“Buat masa ini, saya belum boleh sahkan dapat beraksi di Wimbledon atau tidak pada penghujung bulan ini kerana saya sudah tidak sanggup untuk menerima suntikan itu lagi,” kata pemain berusia 35 tahun itu.
– AGENSI