SEGALA-GALANYA tampak sempura. Baik daripada santunan vokal, penataaan muzik, rekaan pentas, sistem cahaya, pemilihan gaya sehingga butiran kecil, semuanya itu mengukirkan istilah spektakular bahawa Endemik Search sebuah ‘konserto’ rock & roll terulung dekad ini,
Malam minggu lalu menjadi gelanggang buat kumpulan popular yang mendominasi arena muzik tanah air sejak empat dekad lalu itu untuk sekali lagi berkongsi karya agung mereka di pentas penuh prestij.
Persembahan dua malam tersebut membuang jauh jika ada skeptikal segelintir pihak tentang kemampuan Amy selaku vokalis bersama rakan seperjuangannya, Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal. Mereka lincah menakluk pentas Zepp Kuala Lumpur tanpa memperlihatkan usia masing-masing yang sudah mencecah enam siri.
Usia bukan penghalang
Umur nyata bukan halangan. Search membuktikan pengalaman, semangat jitu serta rutin latihan sejak lebih sebulan lalu adalah penentu kejayaan menjadikan persembahan berdurasi lebih dua jam tersebut terasa seperti tidak puas.
Menyaksikan Amy yang sudah menginjak 64 tahun pada 28 Julai ini melontarkan vokal tanpa henti untuk setengah jam pertama dengan lima dendangan membuatkan diri tertanya-tanya di mana dia meraih stamina sebegitu banyak.
Melompat dan berlari dari penjuru pentas sambil menyanyi tanpa kedengaran suara timbul tenggelam sepanjang mendendangkan Endemik, Pelesit Kota, Nigina, Meniti Titian Usang dan Kejora, Amty sepertinya memiliki segudang stok tenaga yang lama tersedia untuk diledakkan.
Band legenda
Tiap kali lagu seterusnya diperdengarkan, semua sekitar 1,600 penonton yang memenuhi pentas gah di Bukit Bintang itu bersorak dan menyanyi bersama-sama band legenda kesayangan mereka.
Pujian juga wajib dilayangkan buat tiga ikon gitaris yang menunjangi kumpulan tersebut. Setiap seorang muncul dengan aura tersendiri hingga penonton tidak mampu mengalihkan pandangan.
Baik Hillary, Nasir dan Man Kidal, karakter tiga gitaris otai itu memukau ramai dengan hanya menerusi petikan riff gitar mengikut pesona masing-masing.
Buat pertama kali juga pengikut tegar menjadi sebahagian daripada saksi perkongsian pentas semula Amy dengan Hillary selaku gitaris pertama selepas meninggalkan Search sekitar 1988.
Impak muzik ‘clean’
Terima kasih dan ‘kudos’ juga buat Zepp Kuala Lumpur yang meninggalkan pengalaman mahal buat penonton dengan impak muzik cukup ‘clean’, sekali gus mengizinkan setiap dendangan dihayati sepenuhnya.
Antara repertoire pilihan pada malam tersebut termasuklah, Gelora Cinta, Isi Atau Kulit, No Way, Endemik II, Setelah Hujan, Rozana, Gadisku, Pada Satu Kedudukan, Diari Habil dan Qabil, Melastik ke Bintang dan Mat Rock.
Sebagai pelengkap momen terakhir sebelum meninggalkan pentas, Pawana daripada album ke empat yang diterbitkan pada tahun 1989 menjadi pilihan penutup tirai konsert anjuran LOL Asia itu.
Terdahulu, persembahan yang berlangsung tepat jam 9 malam itu turut diperkuatkan dengan sokongan pemuzik jemputan, Genervie Kam selaku pemain keyboard bersama adiknya, Arthur Kam (dram).
Tribut buat Yazit
Seperti yang disebut Amy sebelum segmen penghargaan terhadap Allahyarham Yazit Ahmad, anak muda yang dikatakan sangat berbakat besar itu mempunyai gaya hampir 70 peratus menyamai Yazit.
Lagu Hello Kawan disampaikan Amy dengan sepenuh jiwa diiringi paparan video kenangan semasa hayat pemain dram tersebut bersama mereka. Sesekali vokalis itu kelihatan menyekat air matanya.
Mendedahkan Allahyarham anggota berdisiplin tinggi, kenangan lucu mereka sekumpulan diserang cirit-birit disebabkan arwah teringin Amy memasak sambal sardin cili api turut dikongsikan di atas pentas.
Yazit yang menghembuskan nafas terakhir pada 26 September 2016 berikutan komplikasi pelbagai penyakit merupakan antara pengasas Search ketika ditubuhkan di Johor Bahru, Johor.
Berbalik kepada penampilan pada malam tersebut, Search sekali meneguhkan status legenda dengan pacuan adrenalin, vokal dan permainan muzik sepanjang lebih dua jam beraksi.
Tidak perlu mencari kelemahan hingga sanggup meneliti kesilapan kecil atau membuat perbandingan dengan kumpulan rock lain, Search ikonik dalam gaya tersendiri.
Selain Akira Yamauchi iaitu jurutera bunyi yang diterbangkan dari Jepun untuk menyempurnakan konsert, penataan gaya setiap ahli sentuhan Jiman Casablanca dilihat melengkapkan lagi pakej ‘jamuan’ mata peminat.
Sudah pasti semua perincian yang diambil peduli membuktikan mereka tidak sekadar melepas batuk di tangga, sebaliknya komited mahu melihat Konsert Endemik Search diingati penonton.
Tidak hairan, di kerusi penonton bukan hanya mereka yang membesar dengan dendangan kumpulan itu, malah generasi lingkungan usia 20-an juga sanggup berhabis demi menyaksikan sebuah persembahan bersejarah.
Jangan ‘bitter’
Pelaburan LOL Asia selaku penganjur yang memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert juga satu keputusan tepat.Setiap perincian baik demi menyerlahkan impak keseluruhan persembahan.
Dalam media sosial, biarpun ada suara-suara mempersoalkan relevansi konsert rock dalam suasana duduk, hakikatnya penganjur masih perlu memastikan langkah keselamatan diambil kira supaya penonton tidak bersesak.
Biarpun persembahan berskala mega ini dinamakan endemik, situasi tersebut harus dituruti bagi mengurangkan risiko Covid-19.
Biarpun timbul lagi ‘pahat berbunyi’ selepas konsert terutama kononnya vokal Amy tidak seperti dahulu, itu cuma tanggapan melulu mereka yang tidak berada di dewan, tidak perlu ‘bitter’.