HULU TERENGGANU – Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara bagaikan tidak serik apabila membentuk kumpulan pecah rumah bersama kakak dan abang iparnya pada awal tahun ini.
Mereka yang dikenali sebagai Geng Fahmy dipercayai telah memecah masuk sekurang-kurangnya tujuh rumah di daerah ini dan Marang dengan menjadikan barangan kemas dan wang tunai sebagai sasaran utama.
Kelicikan mereka yang telah berjaya melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai keseluruhan kira-kira RM100,000 berakhir apabila abang ipar dan kakak suspek utama yang masing-masing berusia 28 dan 38 tahun berjaya diberkas di sebuah hotel di Pudu, Kuala Lumpur pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing merupakan pengusaha pusat mencuci kenderaan dan butik pakaian dipercayai baru menjual barangan kemas yang dicuri adik ipar mereka kepada seorang ejen di ibu negara.
“Barangan kemas yang berjual pada harga RM47,400 itu dipercayai dicuri dari sebuah rumah di Kampung Pauh di sini yang dipecah masuk suspek utama pada Khamis lalu.
“Hasil tangkapan terbabit, polis telah berjaya menahan suspek utama yang merupakan lelaki yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah pada bulan Januari lalu di Kampung Temala Hilir, Marang pada semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, siasatan awal mendapati aktiviti memecah rumah itu dilakukan suspek utama manakala kakak dan abang iparnya pula berperanan mencari pelanggan untuk menjual barangan kemas curi terbabit. – KOSMO! ONLINE