PHILADELPHIA, Pennsylvania – Tiga maut manakala 11 lagi cedera selepas beberapa individu melepaskan tembakan rambang terhadap orang ramai di sebatang jalan popular di Philadelphia, dalam negeri Pennsylvania, kata polis.
Seorang inspektor polis, D. F. Pace berkata, dua penembak lelaki dan seorang wanita itu telah terbunuh, sambil menambah beberapa pegawai yang bergegas ke lokasi kejadian mengesan beberapa penembak aktif dalam kalangan orang ramai.
“Anda boleh bayangkan terdapat beratus-ratus individu sedang menikmati South Street seperti yang dilakukan setiap minggu apabila kejadian tembakan ini berlaku,” kata Pace.
Menurutnya, pegawai polis menembak seorang daripada suspek, namun tidak dijelaskan sama ada tembakan itu mengenainya.
Media tempatan melaporkan bahawa tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.
Tambah Pace, dua pucuk pistol turut ditemui di lokasi kejadian dan polis perlu menunggu sehingga pagi (waktu tempatan) bagi memeriksa rakaman pengawasan dari kedai-kedai berhampiran yang ditutup pada malam Sabtu. – AFP