fbpx

K2

Pasar Borneo Seri Kembangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELBAGAI makanan dan produk dari Sabah dan Sarawak boleh didapati di Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan, Selangor.

SABTU ialah hari yang senantiasa dinantikan oleh Alicia Faustina, 24, kerana berpeluang menikmati beberapa jenis makanan tradisi negeri kelahirannya, Sarawak walaupun dia kini menetap di Semenanjung Malaysia.

Gadis ayu berasal dari Mukah itu pasti tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan kuih penyaram yang dijual di Pasar Budaya Borneo yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor.

“Kuih penyaram ini adalah makanan tradisi Sarawak. Sejak kecil lagi saya suka makan kuih ini.

“Tetapi apabila sudah berpindah dan bekerja di Semenanjung sukar untuk saya menikmati kuih ini. Jadi, apabila mengetahui akan kewujudan pasar ini, saya tidak melepaskan peluang untuk datang,” jelas gadis berdarah keturunan Iban dan Melanau itu.

Tambahnya, sejak dua tahun lalu dia menjadi pengunjung setia pasar itu yang dibuka setiap Sabtu setelah mengetahui kewujudannya melalui seorang rakan yang juga berasal dari Pulau Borneo.

Kuih penyaram merupakan sajian tradisional yang sering dihidangkan kepada tetamu ketika sambutan Hari Gawai.

ORANG ramai terutamanya komuniti dari Sabah dan Sarawak mengunjungi Pasar Budaya Borneo di Seri Kembangan, Selangor pada setiap Sabtu.

Ketika di pasar tersebut, Alicia juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan beberapa jenis sayur yang cukup terkenal di negeri Bumi Kenyalang iaitu terung Dayak dan sayur midin.

“Terung Dayak ini amat sukar untuk dicari di Semenanjung. Tetapi di pasar ini, saya berpeluang untuk mendapatkannya walaupun harganya sedikit mahal.

“Selalunya saya akan goreng terung ini dengan cili dan dimakan bersama nasi panas. Hidangan ini sudah cukup membuka selera,” ujarnya.

Tambah Alicia, kerinduannya terhadap kampung halaman juga terubat apabila dia mengunjungi pasar tersebut.

Hal ini kerana di pasar itu, dia dapat berjumpa dengan ramai orang berasal dari Pulau Borneo dan mereka boleh berkomunikasi menggunakan bahasa Iban.

Pasar Budaya Borneo itu boleh dikatakan sentiasa menjadi tumpuan penduduk asal Sabah dan Sarawak setiap minggu.

Pelbagai jenis makanan dan produk berasal dari dua negeri itu dijual di pasar tersebut.

BATHICE sibuk menyediakan mi kolok untuk para pelanggan.

Antara produk yang dijual di situ termasuklah kek lapis, kuih cucur sayur atau kicap belaga, kopi tenom, ayam pansuh, ikan terubuk masin, mi kolok dan lain-lain lagi.

Bathice June, 41, yang berasal dari Sandakan, Sabah adalah salah seorang peniaga yang menjual hidangan mi kolok di pasar tersebut.

“Mi kolok antara menu yang popular dan sering mendapat sambutan.

“Setiap minggu ramai yang yang sanggup beratur untuk membeli menu ini. Adakalanya saya sehingga tidak menang tangan untuk membuatnya,” ujarnya.

Latihan

Selain mi kolok, Bathice juga menjual buah tarap dan buah bambangan.

Kedua-dua buah itu hanya terdapat di Pulau Borneo dan tidak selalu didapati kerana berbuah mengikut musim.

“Harga untuk buah tarap dan buah bambangan masing-masing ialah RM24 dan RM22 sekilogram.

“Tetapi harga untuk buah-buahan ini boleh meningkat sehingga RM30 sekilogram jika musimnya hampir berakhir,” kata Bathice.

Isi buah ini berwarna kuning dan memiliki rasa masam manis seakan-akan mangga dan boleh dimakan begitu sahaja.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peniaga Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan, Nelson Entap menjelaskan, pasar tersebut telah beroperasi sejak tahun 2016.

AYAM pansuh sajian ayam yang dimasak di dalam buluh turut didapati di pasar ini.

Menurutnya, idea untuk menubuhkan pasar tersebut dicetuskannya bersama beberapa lagi rakan lain yang bertujuan memperkenalkan budaya dan produk dari Pulau Borneo.

“Pada awal operasi hanya 20 orang peniaga yang terlibat dan pilihan barangan tidaklah terlalu banyak.

“Setelah lima tahun beroperasi, jumlah peniaga juga semakin bertambah. Kini, seramai 55 peniaga secara konsisten berniaga di pasar ini setiap minggu,” katanya.

Sebagai anak jati Sarawak yang sudah menetap di Semenanjung selama lebih 30 tahun, Nelson mengakui kadangkala dia merindui makanan dan produk-produk lain dari negeri kelahirannya.

Untuk pulang ke kampung halaman memerlukan kos yang agak tinggi. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk membuka pasar tersebut.

“Sebenarnya ramai yang berasal dari Sarawak dan Sabah menetap di sini dan mereka pasti akan merindui suasana pasar yang menjual makanan dan produk dari sana.

“Oleh itu, pasar ini boleh mengubati kerinduan mereka terhadap kampung halaman,” ujar Nelson.

Pasar itu beroperasi pada setiap hari Sabtu dari pukul 7 pagi sehingga 11 pagi.

Nelson menjelaskan, setiap individu yang berniaga di situ akan diberi latihan terlebih dahulu antaranya tentang cara menguruskan perniagaan, melayani pelanggan dan memasarkan produk.

“Selain itu, kita juga mengutamakan produk halal. Peniaga di sini, walaupun bukan beragama Islam, kami akan memastikan makanan atau produk yang dijual juga halal,” ujarnya.

Kata Nelson, pasar itu juga kini menjadi sumber mata pencarian bagi masyarakat Pulau Borneo yang telah lama bermastautin di Semenanjung.

“Ada isteri yang mengikuti suami ke Semenanjung bagi mencari rezeki. Isteri yang tidak bekerja boleh mengambil peluang ini seminggu sekali untuk datang berniaga di sini bagi membantu pasangan mereka. Kami masih membuka peluang kepada mereka yang berasal dari Sarawak dan Sabah untuk berniaga di sini,” ujarnya.

Terangnya, peniaga di pasar itu mestilah berasal dari Sabah atau Sarawak sahaja kerana permit yang mereka pohon kepada pihak berkuasa sememangnya khas untuk perniagaan orang Borneo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI