SELEPAS tewas dalam dua aksi terdahulu, Negeri Sembilan Venom menjadikan Kedah Sunshine sebagai mangsa ketika melakar kemenangan sulung dalam saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, Negeri Sembilan jelas menampilkan aksi lebih baik sepanjang pertemuan itu sebelum mencatat kemenangan dengan 57-39.
Kejayaan itu pastinya mampu menjadi pembakar semangat buat skuad kendalian Nur Hidayah Mustafar bagi memastikan mereka terus berada dalam kelompok enam pasukan teratas musim ini.
Kedah yang tersentak selepas ketinggalan 10-14 pada suku masa pertama menampilkan aksi lebih agresif suku masa kedua sehingga membolehkan mereka merapatkan kedudukan 13-15.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan yang enggan Kedah menyamakan kedudukan kemudiannya meningkatkan serangan ke arah pasukan dari Utara itu sebelum aksi di suku masa kedua berakhir dengan Negeri Sembilan mendahului 25-17.
Bersambung suku masa ketiga, aksi lebih menarik disajikan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Negeri Sembilan berjaya membaca taktikal baharu Kedah, sekali gus menghalang kebangkitan lawannya itu.
Kemampuan Negeri Sembilan yang berjaya ‘menghidu’ lebih awal strategi baharu Kedah terus membuka ruang buat mereka untuk melancarkan serangan demi serangan dan berjaya mendahului 43-28.
Pada suku masa keempat, Negeri Sembilan langsung tidak mengendurkan asakan ke arah kubu pertahanan Kedah, sebaliknya terus memberi tekanan kepada pasukan lawan menerusi jentera serangan mereka.
Bagi aksi terakhir minggu pertama NSL 2022 hari ini, Negeri Sembilan akan turun menentang pasukan dari Pantai Timur, Pahang Tulips, sementara Kedah bakal membuat perhitungan dengan Melaka Mystic.