fbpx

Piala Asia: Tiba masa Harimau Malaya bina sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

TEMPOH 23 tahun untuk me­nyaksikan skuad Harimau Malaya layak secara merit ke pentas Piala Asia boleh dianggap tempoh yang cukup lama.

Namun, tiada peluang sebaik kali ini untuk mengulangi pencapaian ‘zaman emas’ bola sepak negara apabila skuad negara turun pada aksi peringkat kumpulan kelayakan pusingan ketiga bagi kejohanan Piala Asia 2023 Rabu depan.

Sebagai rekod, skuad Malaysia telah beraksi di pentas Piala Asia sebanyak tiga kali dengan kali terakhir dilakukan pada 2007.

Harus harus diingat ketika bersaing pada 2007, skuad Harimau Malaya hanya layak beraksi selaku pasukan penganjur bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Mengimbau jauh ke era penghujung 70-an, pada ketika itulah skuad Harimau Malaya berada di zaman kegemilangan dengan beraksi di peringkat Piala Asia dua kali berturut-turut iaitu tahun 1976 (Iran) dan 1980 di Kuwait.

Meskipun skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan pada kedua-dua penyertaan, namun apa yang membanggakan adalah pasukan dapat beraksi dengan tiket secara merit.

Justeru, pada edisi Piala Asia 2023 kali ini, masih ada peluang untuk skuad negara mencipta sejarah tersendiri di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 8 hingga 14 Jun ini.

Di atas kertas, hanya Bahrain boleh dianggap pencabar terdekat berdasarkan status mereka yang menduduki ranking ke-89 dunia ketika ini.

Sementara itu, peluang Malaysia untuk mengutip mata bertemu Turkmenistan dianggap 50-50 berdasarkan ranking ke­dua-dua pasukan.

Berdasarkan prestasi semasa, peluang Harimau Malaya mendapatkan tiga mata bakal hadir ketika bertemu Bangladesh.

Penganalis sukan negara, Dr. Pekan Ramli berkata, sekarang adalah masa paling sesuai buat Harimau Malaya menamatkan penantian layak beraksi ke pentas Piala Asia 2023 secara merit.

Kata Pekan, tiga kemenangan yang dilakarkan oleh Pan-gon dalam empat perlawanan antarabangsa sebelum ini bakal menjadi tonik terbaik buat pasukan memahat sejarah baharu.

“Kita boleh lihat ada peningkatan daripada aspek permainan dan taktikal pasukan sejak dia mengambil alih posisi ketua jurulatih.

“Situasi tersebut dibuktikan apabila pasukan berjaya melakar kemenangan ke atas Brunei dan Hong Kong pada aksi pemanas badan walaupun ia bukanlah aksi sempurna pasukan.

“Ini kerana ujian sebenar ­pasukan adalah pada kempen kelayakan Piala Asia 2023 minggu depan dan keputusan yang lepas tidak boleh dijadikan ukuran,” katanya.

Mengulas lanjut, Pekan percaya antara faktor utama pasukan negara boleh menggunakan kesempatan kali ini adalah di­sebabkan status selaku tuan rumah dan sokongan padu penyokong setia negara.

“Saya percaya ada aura positif dalam kalangan penyokong dan kita boleh lihat pada aksi bertemu Hong Kong dan Brunei.

“Ini adalah petanda positif yang diberikan oleh peminat sukan tanah air kerana mereka sudah lama dahagakan kejayaan dan di bawah kendalian jurulatih baharu ini, mungkin ada sinar kejayaan yang dapat disaksikan.

“Justeru, kita perlu memanfaatkan status selaku tuan rumah kali ini.

“Namun, saya percaya kunci kejayaan skuad negara pada kempen kelayakan nanti adalah perlawanan pertama menentang Turkmenistan, jika menang, pe­luang untuk bersaing di Piala Asia 2023 cukup cerah,” katanya.

Pada pusingan kelayakan terakhir nanti, sebanyak 24 negara akan merebut 11 slot berbaki untuk menempatkan diri ke kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia itu.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik sahaja yang dapat meraih tiket ke pentas Piala Asia 2023 nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI