fbpx

ADUN Kukusan umum keluar Warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina

KOTA KINABALU – Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (Warisan), Rina Jainal mengesahkan keluar parti itu hari ini.

Perkara itu disahkan oleh ADUN Kukusan terbabit dalam sidang media khas sebentar tadi.

Rina yang juga Naib Ketua Wirawati Warisan turut mengumumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang diketuai presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah.

Menerusi sidang media berkenaan, Rina menyatakan beliau mengumumkan keluar Parti Warisan berkuatkuasa hari ini selepas lebih lima tahun berjuang bersama parti itu sejak daripada akar umbi sehinggalah ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya juga dengan ini mengumumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) serta-merta hari ini dan akan bersama barisan kepimpinan parti di bawah kepimpinan Tan Sri Liew Yun Fah untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Selain itu, saya juga meletakkan semua jawatan dalam Parti Warisan termasuklah sebagai Naib Ketua Wirawati dan Ketua Wirawati Kalabakan berkuatkuasa serta-merta,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat PHRS hari ini.

Terdahulu, lima wakil rakyat Warisan sebelum ini yang sudah bertindak keluar parti adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik) Datuk Dr Yusof Yaacob (Sindumin), Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Nuil Juatim (Limbahau).

Selepas lima ADUN Warisan itu keluar parti, Warisan kini memiliki 18 kerusi DUN dan blok pembangkang tinggal 26 kerusi manakala blok kerajaan termasuk ADUN Bebas dan ADUN Dilantik mempunyai 52 kerusi.

Satu kerusi DUN masih kosong susulan penyandangnya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November 2020.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI